Liza Hanim, lima anak dan ibunya positif Covid-19



Penyanyi Liza Hanim, 42, bersama enam ahli keluarga disahkan positif Covid-19.


Liza berkata, dia dan ibunya Badariah Hanum,74, serta lima orang anaknya iaitu Marsya Qistina, 18, Marissa Qaireen, 12, Mohamed Salahuddin, 10, Mohamed Ibrahim,6, dan Mohamed Al Fateh,2, disahkan dijangkiti virus berkenaan.


Liza bagaimanapun bersyukur apabila suaminya yang juga bekas kumpulan Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin satu-satunya dalam keluarga yang negatif wabak berjangkit itu.


"Pada mulanya saya tidak mahu berkongsi perkara ini tapi bila difikirkan kembali saya terpaksa beritahu sebab sebelum ini saya aktif di sosial media, lebih-lebih lagi ketika banjir besar yang berlaku di beberapa negeri minggu lalu dan saya turut terbabit jalankan bantuan kilat.


"Ketika salah seorang ahli keluarga yang datang melawat beritahu anaknya positif. Jadi kami yang kontak rapat dinasihatkan untuk melakukan ujian saringan secepat mungkin.


"Ketika satu keluarga pergi menjalani ujian saringan, tak sangka anak nombor tiga dan bongsu disahkan positif Covid-19 terlebih dahulu. Jadi mereka berdua saya asingkan dan kuarantin di dalam bilik.


"Namun apabila anak paling bongsu positif sudah tentulah saya terpaksa korbankan diri untuk menjaganya. Jadi saya berdoa kepada Allah agar kuatkan semangat kerana anak-anak perlukan saya ketika ini.


"Jadi semasa di dalam bilik saya pakai peralatan pelindungan diri (PPE), pelitup muka dan sarung tangan, tapi disebabkan saya perlu tidurkan Fateh, jadi cepat atau lambat saya pasti akan berjangkit,"katanya.


Menurut Liza, selepas dua anaknya dijangkiti virus terbabit dia, ibu serta anak sulungnya pula disahkan positif Covid-19.


"Setiap hari kami yang masih negatif akan menjalani ujian saringan. Ketika saya membuat ujian terbabit, saya pula disahkan positif bersama anak sulung serta ibu saya.


"Ketika suami beritahu ibu saya positif Covid-19, saya hilang kata-kata dan tidak tahu nak gambarkan perasaan saya ketika itu kerana bimbang keadaannya yang sudah berusia.


"Tapi kami semua disatukan dalam bilik mak kerana biliknya luas. Sekurang-kurangnya saya boleh memantau anak-anak dan ibu saya. Jadi selalulah saya semak tahap oksigen mak supaya berada dalam keadaan yang baik.


"Kemudian semalam anak nombor empat pula didapati positif dan hari ini anak nombor dua juga turut positif. Jadinya kelima-lima anak saya semua positif kecuali suami saya sahaja,"katanya.


katanya lagi, dia bersyukur apabila dia, anak-anak dan ibunya berada dalam keadaan yang baik dan selamat.


- HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->