RM10 pun saya tiada untuk makan



Dengkil: "Saya keluar rumah tidak bawa apa-apa, duit walaupun RM10 pun saya tiada untuk makan," kata Hotijah Hadrawi, 45.


Beliau yang menetap di Kampung Sri Tanjung di sini, berkata selama tiga hari bencana banjir itu berlaku, dia dan suaminya Sumbre Ali, 50, terpaksa 'tebalkan muka' untuk meminta makanan di surau atau masjid terdekat.


Bagaimanapun, disebabkan statusnya sebagai warganegara Indonesia, pihak berkenaan hanya memberikannya makanan sekiranya ada lebihan.


"Kejadian banjir itu berlaku terlalu cepat, kami hanya sempat menyelamatkan diri dan tidak membawa apa-apa. Baju yang dipakai ini pun sudah tiga hari kami pakai. Mujurlah ada individu yang baik hati datang kepada kami dan memberikan sehelai baju lain untuk dibuat ganti.


"Tetapi untuk makan kami terpaksa ikat perut dan tebalkan muka untuk minta kepada orang lain. Jika ada makanan, kami makan. Jika tiada, kami berusaha hari lain pula, tetapi selalunya ada makanan lebihan di masjid cuma kena datang lambat sedikit selepas semua orang sudah dapat makanan," katanya yang sudah 12 tahun bekerja di negara ini.


Hotijah berkata, setiap hari beliau datang bersama suaminya untuk melihat keadaan rumah, namun air hanya surut sedikit sahaja, tetapi beliau masih tidak berani untuk meredah kerana takutkan adanya arus elektrik.


"Saya baru sebulan menetap di rumah ini, sebelum ini duduk di kampung berdekatan namun tahun lalu rumah berkenaan turut banjir. Jadi kami pindah ke sini kerana difahamkan sini tidak kena banjir.


"Namun, mungkin sudah ditakdirkan bila kami menetap di sini, inilah pertama kali berlaku banjir di kawasan ini. Keadaan masa itu sangat kelam kabut, kami cepat-cepat keluar rumah kerana kawasan ini berhadapan dengan sungai. Risau berlaku apa-apa yang tidak diingini, kami terus keluar dari rumah, apa yang saya fikir ketika itu cuma nyawa saya dan suami," katanya.


Sementara itu, Shafry Md Yunos, 52, yang juga pemilik rumah yang disewa oleh Hotijah itu berkata, kejadian ini sekali gus menjejaskan sumber pendapatannya.


"Bukan sahaja rumah saya terjejas banjir, tetapi lima lagi rumah sewa saya juga mengalami nasib sama. Sudah 40 tahun saya menetap di sini, inilah bencana paling teruk saya pernah alami.


"Selalunya kalau banjir di Dengkil ini, kawasan kami selamat. Cuma kali ini nasib malang menimpa kami, tiada apa yang mampu selamatkan pada masa kejadian. Saya ada letakkan segala dokumen yang dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat tinggi dalam rumah, harapnya masih selamat," katanya.


- HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->