Suami tabah jaga isteri lumpuh, empat anak OKU



Dungun: "Saya reda dan amanah ini akan dipikul dengan sebaik mungkin," kata seorang lelaki yang tetap tabah menjaga isteri dan empat anak lelaki orang kurang upaya (OKU).


Jumahir Masun, 52, berkata empat daripada lima anaknya berusia 16 hingga 25 tahun tidak boleh berjalan sejak berusia satu tahun.


"Anak-anak saya tidak membesar seperti kanak-kanak lain, dulu saya dapat berkongsi tugas mencabar ini dengan isteri, Rohayati Abdullah, 50.


"Namun, kini tugas itu digalas sendirian selepas isteri tiba-tiba tidak dapat berjalan dan disahkan lumpuh sejak empat tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kertih 6, di sini, hari ini.


Menurutnya, anak sulungnya, Ahmad Arif Aiman, 25, hanya terlantar di atas katil sepanjang masa.


Katanya, sementara Ahmad Ariffin, 23, Ahmad Zainuddin, 17, dan Ahmad Budiman, 16, pula mengalami masalah sendi tangan serta kaki menyebabkan mereka tidak boleh duduk dengan betul.


"Sebelum ini, saya ada membawa anak-anak ke hospital untuk rawatan dan terapi tetapi atas sebab masalah pengangkutan kerana tiada kereta menyebabkan mereka tidak dibawa lagi ke hospital.


"Keempat-empat anak dan isteri terpaksa memakai lampin pakai buang dan itu membuatkan saya terpaksa berbelanja lebih untuk menanggung kos berkenaan," katanya.


Katanya, sebelum ini dia bekerja mengambil upah mengait kelapa sawit dan kini terpaksa berhenti kerja sejak isterinya lumpuh.


"Isteri dan anak-anak memang memerlukan penjagaan dan perhatian sepenuhnya termasuk menguruskan diri mereka.


"Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat bekerja dan dalam hati ini saya menangis memikirkan keadaan saya dan mereka," katanya.


Jumahir berkata, dia tetap bersyukur apabila setiap anaknya diberi bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


"Bantuan itu saya perlu berjimat-cermat untuk perbelanjaan lampin pakai buang mereka dan makan minum kami sekeluarga.


"Duit bantuan itu juga digunakan untuk anak ketiga, Nor Hanisa, 20, yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diperolehinya perlu digunakan untuk membayar yuran pengajian dan membeli buku-buku pelajaran," katanya.


Katanya, dia juga bersyukur kerana jiran-jiran yang bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga dengan menghulurkan makanan.


"Saya sering menangis sendirian memikirkan nasib dan tidak tahu apa akan berlaku kepada mereka sekiranya umur saya tidak panjang, "katanya.


Mereka yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Jumahir di talian 0145401915.


- HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->