'Bagaimana TMJ boleh tahu cerita?'



Kuala Lumpur: "Saya pelik bagaimana Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim boleh tahu setiap apa yang berlaku dalam skuad Harimau Malaya, seperti ada pengintip yang memberikan maklumat kepadanya."

Itu penjelasan bekas pemain bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail yang cukup hairan kejadian dalam 'kelambu' Harimau Malaya diketahui dengan begitu terperinci oleh Tunku Ismail.

Beliau berkata, setiap perkara berlaku dalam kem Harimau Malaya tidak sepatutnya didedahkan kepada umum kerana boleh memberi tanggapan negatif sekali gus melihat ada kepincangan berlaku antara pemain dan barisan kejurulatihan.

Beliau berkata, ketika ini sepatutnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diberikan ruang dan peluang secukupnya untuk menyelesaikan masalah membabitkan skuad Harimau Malaya termasuk merangka strategi berkesan dalam usaha meraih keputusan positif.

"Bagaimana TMJ boleh tahu semua. Mungkin ada spy (pengintip) yang memberikan maklumat. Saya tak tahu apa nak jadi dengan bola sepak Malaysia kerana apa yang berlaku dalaman membabitkan strategi atau taktikal pasukan tidak boleh diketahui orang luar.

"Sepatutnya tidak semua perkara boleh dibongkarkan kepada umum. Beri ruang dan peluang kepada FAM untuk buat kerja mereka kerana yang melantik barisan kepimpinan dalam kalangan bola sepak negeri juga.

"Semua ada hak untuk komen atau kritik namun terus sampaikan kepada FAM, bukannya buka satu persatu kepada umum kerana masalah tidak akan selesai," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Baru-baru ini, Tunku Ismail mendedahkan beberapa punca skuad Harimau Malaya gagal di Piala AFF termasuklah kegagalan badan induk bola sepak negara itu yang tidak menepati perancangan asal untuk menghantar skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) apabila sebaliknya pada saat akhir mengubah kepada skuad senior.

Faktor itu menyebabkan kebanyakan pemain senior keliru dan terpaksa mengubah jadual cuti hujung tahun untuk menyertai skuad negara selain beberapa tonggak seperti Mohamadou Sumareh yang terpaksa menolak panggilan atas alasan untuk berjumpa keluarganya di Gambia selepas hampir tiga tahun tidak pulang ke sana.

Malah, kegagalan komunikasi daripada Jabatan Media FAM yang tidak telus dalam menyampaikan maklumat berhubung status pemain tidak dipanggil turut menambahkan lagi masalah hingga menimbulkan persepsi tidak baik dalam kalangan penyokong.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Tan Cheng Hoe yang gagal mengawal bilik persalinan ketika saingan Piala AFF termasuk membiarkan pemain menulis taktikal di papan putih ketika perlawanan, Jamal Nasir berkata situasi berkenaan perkara biasa dan tidak dilihat sebagai teruk hingga perlu menyalahkan jurulatih.

Katanya, situasi berkenaan kemungkinan berlaku kerana pemain ingin berkongsi pengalaman atau idea dalam usaha memastikan pasukan kebangsaan meraih keputusan positif.

"Ketika saya mewakili skuad kebangsaan dahulu, Datuk Soh Chin Aun turut berdiri di sebelah jurulatih untuk berkongsi idea dan perkara perlu dilakukan rakan sepasukan lain.

"Bagi saya tidak ada yang salah pun pemain beri keterangan dan bukanlah jika buat demikian jurulatih dilihat gagal mengawal bilik persalinan," katanya.


- HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->