Ibu, tiga anak maut dirempuh pacuan empat roda



BENTONG – Empat sekeluarga yang terdiri daripada ibu dan tiga anak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda (4WD) yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di simpang lampu isyarat susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) berhampiran Kampung Lebu di sini hari ini.


Difahamkan mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu adalah seorang wanita dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.


Ketua Polis Daerah Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kesemua mangsa yang menaiki MPV jenis Toyota Velfire tersebut dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis kenduri kahwin.


“Berdasarkan keterangan daripada saksi kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara berkenaan telah melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar MPV berkenaan.


“Siasatan awal pihak polis mengesyaki pemandu pacuan empat roda itu juga berada di bawah pengaruh dadah dan siasatan masih giat dilakukan,” katanya di sini hari ini.


Tambahnya pemandu MPV dan pacuan empat roda berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.


Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bomba yang bergegas ke tempat kejadian mendapati terdapat enam mangsa terlibat dalam kejadian itu.


“Empat mangsa yang maut terdiri daripada satu perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki manakala dua lelaki dewasa mengalami kecederaan.


“Pasukan bomba memastikan tiada lagi mangsa dalam kenderaan selepas kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam,” ujarnya. 



– K! ONLINE

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->