‘Orang lain berhutang, harta kami yang disimbah cat’



PETALING JAYA – Nasib malang seorang lelaki apabila terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan jirannya yang berhutang dengan pihak Ah Long.

Menerusi perkongsian Azhar Md Arif yang juga merupakan mangsa keadaan, menceritakan kejadian yang menimpa dirinya setelah kereta dan rumahnya disimbah cat merah oleh kumpulan tersebut.

Menurut mangsa, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam pada Khamis lalu di mana dia terdengar jeritan jiran di depan rumahnya lalu bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya, dia sempat melihat dua lelaki yang tidak dikenali menaiki motosikal beredar dari depan rumahnya selepas mencampak sebotol cat merah.

“Malam tadi lebih kurang pukul 12 lebih, tiba-tiba aku terdengar jiran depan rumah menjerit. Aku terus tengok ke luar rumah dan ternampak dua orang budka menaiki motosikal terus beredar dari rumah aku selepas campak sebotol cat.

“Rumah aku nombor 288, kalau ikutkan nota yang ditampal, rumah penghutang bernombor 286 dah kosong dan tiada penghuni hampir setengah tahun,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kemudian, Azhar bertindak menghubungi pihak Ah Long tersebut menerusi nota yang ditinggalkan untuk memohon agar tidak diganggu lagi, namun maklum balas yang diterima amat mengejutkannya.

“Aku WhatsApp si Ah Long yang nombornya tertera pada nota tersebut. Korang baca sajalah perbualan itu. Dia siap suruh kita pula pergi mencari pemilik rumah yang berhutang.

“Sudahlah salah rumah, dia boleh suruh kita cari penghutang itu pula, sabar jelah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azhar juga memaklumkan bahawa dia telah membuat laporan polis susulan dari kejadian yang berlaku kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya. 


– K! ONLINE

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->