Tujuh lelaki berlagak marsyal didakwa



Port Dickson: Tujuh lelaki yang berlagak sebagai marsyal dengan menghalang lalu-lintas bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.


Dua rakan, Ezy Effandy Mohd Harif, 46, dan Mohamad Zaini Mohamed, 50, didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret V Vanita atas pertuduhan memotong kenderaan lain ketika berada di garisan berkembar.


Perbuatan itu dilakukan pada jam 11.10 pagi di Sungai Raya-Tanjung Agas, di sini, pada 5 Disember lalu.


Mahkamah turut menetapkan hukuman empat bulan penjara sekiranya mereka gagal membayar denda.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama.


Mohamad Zaini turut didenda RM400 selepas mengaku bersalah atas dakwaan menggunakan pelekat berlambang Unit Tindakan Khas (UTK) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertulis 'Tangkas, Banteras, Ganas' iaitu kesalahan di bawah Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967.


Kedua-dua mereka yang diwakili peguam Eric Yeow Kok Heng daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu menimbulkan ketidakselesaan dan menggunakan aksesori kenderaan yang menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.


Kesalahan itu dilakukan pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dengan masing-masing didakwa mengikut Seksyen 48(1) APJ 1987 dan Seksyen 119 (2) APJ 987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama.


Mahkamah menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan kes akan disebut semula 8 Februari depan untuk serahan dokumen.


Sementara itu, lima lagi lelaki mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menghalang lalu-lintas di lampu isyarat SUA Betong pada 20 November 2021.


Mengikut pertuduhan, A Vinith, 27; K Lohansharma, 27; S Kumaran, 31; R Devah, 27; dan A Siva Perunal, 48, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi didakwa menahan kenderaan lain ketika di lampu isyarat iaitu perbuatan itu membahayakan keselamatan orang lain.


Tiga daripada mereka yang bekerja sebagai pemandu lori, dua penghantar surat dan penyelia turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan menyebabkan ketidakselesaan tidak wajar kepada pengguna jalan raya lain, tidak berhenti di lampu isyarat merah dan menghalang kebebasan lalu-lintas dengan memberhentikan motosikal di tengah aliran trafik.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam, K Sheela.


Mahkamah menetapkan kelima-lima mereka diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 9 Februari depan.


- HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->