Dua lelaki ditahan kerana halang ambulans


Shah Alam: Polis menahan dua lelaki kerana disyaki menghalang laluan ambulans yang sedang membawa pesakit ke hospital semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira 4 petang tadi.

Katanya, mereka ditahan susulan rakaman video yang tular menunjukkan ambulans dihalang sebuah van jenis Toyota Hiace berwarna putih dan motosikal jenis Modenas Kriss berwarna biru selain aduan diterima Balai Polis Klang daripada pemandu ambulans berkenaan.

Cha berkata, hasil semakan ke atas kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 53 dan 30 tahun itu mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek esok di Mahkamah Klang, dekat sini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cha berkata, berdasarkan aduan yang diterima daripada pemandu ambulans pada 2.23 petang semalam, dia yang sedang membawa seorang pesakit dialisis menghala ke Hospital Sri Kota, Klang dihalang oleh pemandu Toyata Hiace yang memandu secara rapat dari arah belakang ambulans.

"Pengadu menegur pemandu van dengan menggunakan pembesar suara agar menjarakkan kenderaan. Tidak lama kemudian, seorang lelaki menaiki sebuah motosikal berhentikan motosikalnya di hadapan ambulans yang dipandu oleh pengadu dan menghalang pergerakan pengadu.

"Lelaki itu turun dari motosikalnya dan menghampiri pintu bahagian pemandu dan mengarahkan pengadu turun dari ambulans. Pengadu terus mengundurkan ambulans bagi mengelakkan apa-apa kejadian yang tidak diingini," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama van yang mengekori berhenti di tepi ambulans dan pengadu terus mengelak kedua-dua kenderaan dan meneruskan perjalanan ke hospital.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan (KK) bagi kesalahan memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam dan di bawah Seksyen 341 KK untuk kesalahan halangan salah," katanya.



Sumber - HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->