Akhirnya Rohana dapat status warganegara


Putrajaya: Hanya linangan air mata mengiringi Rohana Abdullah, 22, ketika menerima surat keputusan permohonan kewarganegaraan yang diserahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, di sini, hari ini.

Kisah Rohana dan seorang wanita Cina, Chee Hoi Lan, 83, disiarkan secara eksklusif akhbar Harian Metro pada 14 Januari lalu dan mendapat reaksi pelbagai pihak kerana wanita warga emas itu sanggup menjaganya seperti anak sendiri sejak berusia dua bulan lagi, walaupun berbeza agama.

Bagaimanapun, ketiadaan kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri menyebabkan kehidupan Rohana agak sukar sehingga dia terpaksa berhenti sekolah.

Namun, sejak kisah mereka disiarkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang cakna dengan kesukaran gadis itu berjanji mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

Usaha itu direalisasikan hari ini apabila Hamzah sendiri menyerahkan surat berkenaan kepadanya.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk menemui Rohana gagal berikutan dia dan ibu angkatnya, dibawa pergi oleh seorang wanita ketika majlis sedang berlangsung.

Sementara itu, Hamzah berkata, Rohana terharu dan berterima kasih kepada kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana meluluskan permohonannya.

"Dia (Rohana) ucapkan terima kasih kerana dapat status warganegara, saya katakan kepada beliau sebenarnya kita bukan beri kepada dia seorang, ramai lagi.

"Dia menangis kerana dia sudah tunggu lama. KDN kena selidik semua perkara sebelum kita nak berikan taraf kewarganegaraan kepada sesiapa.

"Penyelidikan itu yang mengambil masa kadangkala cepat, kadang-kadang lambat terpulang kepada individu tertentu.

"Yang cepat kerana semua dokumen sudah lengkap dan yang dokumen yang tidak lengkap itu kadang-kadang memakan masa sehingga belasan tahun," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan oleh Menteri Dalam Negeri, di sini, hari ini.

Seramai 34 pemohon berusia antara lima hingga 24 tahun menerima surat keputusan permohonan kewarganegaraan.

Mereka terdiri daripada 18 pemohon lelaki dan 16 pemohon wanita iaitu 21 pemohon Melayu, lapan pemohon Cina, empat pemohon India manakala seorang individu beragama Islam yang dibesarkan oleh wanita bukan Islam.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, individu yang menerima kewarganegaraan Malaysia diingatkan sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara serta mematuhi undang-undang negara ini.

Katanya, mereka juga diingatkan untuk menyokong inisiatif kerajaan dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan keupayaan diri agar dapat memberi sumbangan kepada negara.

Beliau berkata, ibu bapa penerima juga diingatkan untuk mendidik anak masing-masing sebaik mungkin supaya mereka menjauhkan diri daripada terbabit dengan aktiviti tidak berfaedah yang boleh merosakkan masa depan mereka.

"Ingin saya ingatkan anugerah ini penting, yang datang dengan tanggungjawab yang amat besar. Tanggungjawab kepada negara, ibu bapa dan saudara mara.

"Saya berharap penerima sentiasa berpegang kepada lima prinsip rukun negara, memelihara kerukunan negara tercinta.

"Ingatlah keluarga besar Malaysia datang daripada pelbagai latar belakang," katanya.



Sumber - HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->