'Saya reda dengan ketentuan Allah'



Marang: "Saya reda apabila Allah hanya meminjamkan anak selama 16 tahun sebelum dia pergi semalam," kata Harzul Azliana Harun, 42.

Harzul Azliana adalah ibu kepada pelajar Tingkatan Empat, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan merentas desa di persimpangan Kampung Asing di sini, semalam.

Menurut Harzul Azliana, arwah yang juga anak sulung daripada dua beradik adalah seorang anak yang baik dan disenangi semua.

"Dia jenis mudah dan tidak cerewet, bila tiba-tiba jadi begini memang kami semua terkejut apatah lagi dia tidak mempunyai sebarang penyakit malah pada pagi kejadian pun, arwah berada dalam keadaan baik.

"Sebagai ibu, saya masih belum puas bersamanya apatah lagi ia berlaku ketika kita masih bergembira menyambut Aidilfitri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Perpat di sini, hari ini.

Harzul Azliana berkata, dia menerima panggilan daripada suaminya jam 8.45 pagi memaklumkan kejadian menimpa anak mereka sebelum bergegas ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Terengganu dan sebaik tiba di sana, arwah anak memang sudah tidak sedarkan diri.

"Tak lama kemudian, doktor yang bertugas memaklumkan anak sudah tiada dan saya reda dengan dugaan diberikan ini.

"Saya pernah menunaikan umrah bersama suami pada 2015 dan arwah pernah cakap mahu ke sana dan memang ada perancangan tahun ini. Saya sedih sebab hajat arwah tidak kesampaian," katanya

Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Perpat selepas solat Asar semalam.

Media semalam melaporkan Aman Basri meninggal dunia ketika menjalani latihan merentas desa di persimpangan Kampung Asing di sini.


Sumber - HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->